Islam Mengangkat Tinggi Maruah Nyawa

Dunia hari ini bagaikan terkejut dan panik dengan penularan wabak covid-19 yang kini telah diisytihar sebagai pandemik di seluruh dunia oleh WHO. Negara kita yang tercinta turut terpalit dengan serangan virus 🦠 yang berbahaya ini dan sehingga tulisan ini dirangka, angka jangkitan akibat virus ini mencecah 553 orang. Kementerian Kesihatan Malaysia adalah organisasi paling utama dalam mendepani wabak ini. Kini pengurusan pandemik ini diurus oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Pada lebih kurang jam 10:05 minit malam 16 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan langkah pencegahan jangkitan dengan mengaktifkan Perintah Kawalan Pergerakan.

Situasi sebelum pengumuman tersebut dilihat telah tercetus pembelian panik oleh ramai rakyat Malaysia diserata tempat sehingga terzahir situasi panik sedangkan pihak pemerintah telah mengeluarkan kenyataan untuk tidak melakukan pembelian panik kerana jaminan bekalan makanan mencukupi telah pun diumumkan dan akan dipantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Ia kesan dari tularnya berita-berita dan info tidak sahih dan palsu yang berlegar dalam kalangan rakyat. Nampaknya kita lebih gemar dan mempercayai berita tidak sahih berbanding kenyataan rasmi pihak pemerintah. Ittaqillah.

Namun begitu, Islam yang merupakan sebuah agama yang sangat mengangkat tinggi maruah nyawa dan menjaga jiwa dari sebarang penyakit dan wabak ada mengajarkan kita tentang disiplin bagaimana berhadapan situasi genting ini. Banyak sekali asas² penting yang diletakkan oleh Islam bagi memastikan pandemik ini tidak semakin menular. Antara hadith sahih yang disebut oleh Rasulullah saw adalah:

وَعَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ عنِ النَّبِيِّ ﷺ قَالَ: إذَا سمِعْتُمْ الطَّاعُونَ بِأَرْضٍ، فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإذَا وقَعَ بِأَرْضٍ، وَأَنْتُمْ فِيهَا، فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا متفقٌ عليهِ.

Bermaksud: Apabila kalian mendengar satu wabak penyakit di sesuatu daerah maka janganlah memasuki daerah tersebut, dan apabila kamu berada dalam daerah yang sedang dilanda wabak penyakit berjangkit maka jangan keluar dari daerah tersebut.”

Muttafaqun ‘Alaih.

Ternyata Islam telah mengeluarkan satu langkah isolasi bagi mencegah wabak dari terus menjangkiti kumpulan manusia lain yang sihat. Kaedah ini merupakan kaedah ampuh untuk memastikan keselamatan individu lain. Dalam hadith lain Nabi saw juga sebut dengan jelas:

فعَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَضَى أَنْ « لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ »
Bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda, “tidak boleh mudharat (diri sendiri) dan memudharatkan (yang lain).”

Ternyata kaedah fiqh ini menjadi tunjang utama dalam memastikan nyawa manusia tidak boleh diberi mudharat apatahlagi jika ada tindakan yang boleh mengancam dan memudharatkan orang lain.

Dua hadith ini telah menyokong apa yang disebutkan oleh Allah swt menerusi firmannya yang berbunyi:

وقال تعالى: وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ [البقرة:195].

Bermaksud: “dan janganlah kalian mencampakkan diri kalian dalam kebinasaan.”

Dalam memastikan jangkitan tidak terus menular, Nabi sekali lagi menjelaskan dalam satu hadith yang sahih yang berbunyi:

لاَ يُورِدنَّ مُمرِضٌ على مُصِحٍّ

Bermaksud: “Janganlah orang sakit mengunjungi orang yang sihat.”

Oleh yang demikian, harus jelas bahawa Islam sangat jelas dalam melarang sesuatu wabak itu disebarkan dan menular kepada orang lain kerana ia akan mencetuskan suasana tidak sihat bagi sesuatu masyarakat. Ia bukan sahaja menimbulkan suatu suasana panik dan menakutkan dalam kalangan masyarakat, bahkan akan menyebabkan ekonomi lumpuh, proses pendidikan terhenti, rutin harian tidak lagi berjalan seperti biasa, merencatkan aktiviti pelancongan dan akhirnya kerajaan terpaksa membelanjakan duit pembayar cukai dengan lebih tinggi untuk menampung kerugian di semua sektor.

Oleh yang demikian, penulis amat berharap agar mana-mana pihak yang baru sahaja pulang dari negara yang terlibat dengan wabak atau mempunyai kontak rapat dengan mana-mana individu yang mempunyai simptom perlulah mematuhi arahan pihak berwajib dengan segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah bagi melakukan saringan kesihatan.

Ia bukan soal ‘takkanlah Allah nak berikan virus kepada orang beriman yang berjemaah di dalam masjid”, namun jika kita faham apa yang sebut oleh Rasulullah saw dalam hadith di atas, kita tidak mungkin akan mengucapkan frasa dangkal begitu. Tidakkah kita membaca firman Allah yang berbunyi:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Bermaksud: “dan takutlah dengan fitnah bala yang tidak hanya ditimpakan hanya kepada orang-orang zalim dalam kalangan kamu sahaja (bahkan ia mengenai seluruhnya secara umum).”

(Quran Surah al-Anfal: 25)

Islam merupakan sebuah agama yang sentiasa memberi respon kepada apa sahaja situasi yang terjadi disekeliling. Islam juga menyeru umatnya agar sentiasa rasional dalam menilai sekeliling dengan ilmu yang mendalam. Berinteraksi dengan fakta dan angka yang tepat dan berusaha untuk tidak menggunakan terma-terma agama untuk menyokong sesuatu yang menyalahi norma realiti apatahlagi ia telah dibuktikan oleh sains. Rasulullah juga pernah sakit teruk walaupun baginda seorang Nabi yang telahpun disahkan ahli syurga. Begitu juga para sahabat Rasulullah yang turut cedera ketika peperangan, bahkan sebahagian mereka gugur syahid walaupun Iman mereka lebih tinggi dari kita dan mereka ahli syurga.

Oleh yang demikian, saya menyeru agar sebagai umat Islam, kita harus hidup dengan realiti semasa dan jangan sentiasa berada dalam sangkaan dan mengharapkan keajaiban dengan alasan kita sebagai muslim. Bahkan kaabah juga dilakukan aktiviti disinfaksi walaupun ia terletak dalam satu daerah paling suci di atas muka bumi ini. Bertakwalah kita dalam mendepani wabak ini.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita memperbanyakkan taubat dan istighfār dalam tempoh ujian berat ini. Mohonlah keampunan Allah kerana mungkin saja ia adalah hasil dari perlakuan maksiat kita kepada Allah. Berdoalah agar Allah sentiasa menjauhkan kita dari wabak berbahaya ini. Antara doa yang disunatkan untuk dibaca adalah seperti yang tertera di poster di atas.

Fi amānillah.

Ust Mohammad Sufian Talib
[Penasihat Agama PIKDM]
•••••••••••••••••••••••••••••••••••••••
Website PIKDM
https://www.pikdm.org.my/

#PIKD
#PIKDM
#Covid19

Media Sosial PIKDM

Jom Infak

Projek Angkat

Jadilah yang terawal dalam membantu mereka yang memerlukan.

Infak Bulanan

Hulurkan bantuan
anda bagi
mereka yang
memerlukan.

Sumbangan
One-Off

Sumbangan anda sangat penting dan bermakna buat penerima manfaat.

Zakat Online

Sumbangan zakat anda akan terus disampaikan kepada asnaf yang memerlukan.

Favicon Pikdm

Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia
(PPM-030-10-18122019)

Hubungi

Saluran Perbankan

Maybank

Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia
5627-4015-5175

Jumlah Pelawat : 55653
© 2024 – Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia (PPM-030-10-18122019)