Skip to content
Buletin & aktiviti

Laporan Perasmian Projek Air Bersih Water for Life (W4l)

LAPORAN PERASMIAN PROJEK AIR BERSIH WATER FOR LIFE (W4L)

Kampung Hujung, Pulau Jambongan, Sabah

Alhamdulillah, setelah melalui proses perancangan, pembinaan, pengujian dan pemantauan, Projek Air Bersih, Water For Life (W4L) di Kampung Hujung telah dirasmikan pada 27 Oktober 2026 dengan izinNya.

PIKDM mengenal pasti keperluan air bersih penduduk Kampung Hujung, seterusnya menggerakkan kerjasama strategik bersama Pertubuhan Ihsanku Malaysia bagi merealisasikan projek ini.

Kampung Hujung mempunyai lebih 70 buah rumah yang dihuni kira-kira 90 keluarga, melibatkan sekitar 400 penduduk. Sebelum projek ini dilaksanakan, mereka bergantung kepada air tadahan hujan, manakala penduduk yang berkemampuan terpaksa membeli bekalan air RO dari Paitan.

Mengapa kolam takungan dibina?

Cadangan asal projek adalah untuk membina sebuah perigi. Namun, hasil tinjauan tapak mendapati kedalaman sumber air yang sesuai hanya sekitar 10 kaki, manakala kapasiti air perigi tidak mencukupi untuk menampung keperluan seluruh kampung.

Sebagai penyelesaian, sebuah kolam takungan berukuran kira-kira 50 kaki × 70 kaki dengan kedalaman 10 kaki dibina bagi mengumpulkan mata air bawah tanah serta menakung air hujan dalam kapasiti yang lebih besar.

Air dari kolam ditarik melalui paip bawah tanah sejauh kira-kira 100 meter ke rumah rawatan air. Sistem pam dan rawatan digerakkan menggunakan tenaga solar.

Air kemudiannya melalui beberapa peringkat:

Kolam takungan → rumah pam → enam tangki proses → tiga peringkat penapisan →penapisan UV →tangki akhir → air selamat diminum.

Projek bernilai keseluruhan RM296,705 ini diterajui oleh Pertubuhan Ihsanku Malaysia dengan pembiayaan sebanyak 80%, manakala baki 20% disumbangkan oleh para penginfak PIKDM.

Pasukan PIKDM dan Ihsanku kemudiannya turun ke Pulau Jambongan pada 26 Oktober sebelum projek dirasmikan pada keesokan harinya 27 Oktober perasmian disempurnakan.

Alhamdulillah, penduduk Kampung Hujung kini memperoleh bekalan air yang telah melalui sistem rawatan berperingkat untuk diminum dan digunakan dalam kehidupan harian. Projek ini bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan kepada air hujan dan bekalan air dari luar, malah memberikan manfaat berpanjangan kepada seluruh masyarakat.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Pertubuhan Ihsanku Malaysia, para penginfak PIKDM, Madrasah Darus Sunnah Pulau Jambongan, Tekad Samudera Sdn. Bhd. serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini.

Jazakumullahu khairan buat para penginfak budiman PIKDM.

Semoga setiap titisan air yang dimanfaatkan menjadi amal jariah yang terus mengalir buat semua penyumbang.

Peneraju Utama: Pertubuhan Ihsanku Malaysia

Rakan Kerjasama: PIKDM

Pemilik Projek: MADS

Rakan Pelaksana Tempatan: Tekad Samudera Sdn. Bhd.

www.pikdm.org.my

#PIKDM #IHSANKU #Mads #WaterForLife #AirBersihUntukSemua #PulauJambongan #KampungHujung #AmalJariah

Galeri ini memuatkan sebahagian gambar sahaja. Untuk melihat keseluruhan koleksi gambar, sila layari hantaran penuh di Facebook PIKDM.

Sumber: Facebook PIKDM

Kongsi post ini

Ada pertanyaan?

Hubungi Team PIKDM

Sebarang pertanyaan, sila hubungi kami melalui WhatsApp.

Floating Image