Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA katanya, antara doa Rasulullah SAW adalah:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Allahumma inni a’udzubika min zawaali ni’matik wa tahawwuli ‘aafiyatik fujaa-ati niqmatik wa jami’i sakhatik.
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, seksaanMu yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala kemurkaanMu.”
Antara pengajaran dalam doa ini :
- Kita sebagai hamba perlu sentiasa memohon perlindungan daripada hilangnya nikmat dan kesihatan yang telah dikurniakan. Segala nikmat yang kita nikmati hakikatnya datang daripada Allah SWT dan akan kembali kepada Allah SWT jua.
- Nikmat yang dimaksudkan dalam doa ini adalah nikmat Islam, iman, ihsan dan juga kebajikan. Kekhuatiran hilangnya nikmat ini adalah hilang tanpa adanya pengganti. Manakala, nikmat kesihatan yang Allah SWT anugerahkan berupa segala pancaindera dan anggota badan yang lain juga perlu dipanjatkan doa perlindungan agar Allah SWT tidak mengubah ia menjadi penyakit yang bakal mengganggu aktiviti ibadah kita.
- Doa ini juga bertujuan memohon perlindungan daripada azab, seksaan dan kemurkaan Allah SWT yang datang secara tiba-tiba.
Unit Ilmu & Penerbitan PIKDM