Terdapat empat bulan yang dinamakan sebagai Bulan Haram, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Gelaran haram bermaksud bulan yang suci dan dihormati, di mana Allah SWT melarang berlakunya kezaliman dan peperangan. Daripada Abu Bakr RA, daripada Nabi SAW Baginda bersabda:
الزَّمانُ قَدِ اسْتَدارَ كَهَيْئَتِهِ يَومَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَواتِ والأرْضَ، السَّنَةُ اثْنا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْها أرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاثَةٌ مُتَوالِياتٌ: ذُو القَعْدَةِ وذُو الحِجَّةِ والمُحَرَّمُ، ورَجَبُ مُضَرَ، الذي بيْنَ جُمادَى وشَعْبانَ
Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”
(HR al-Bukhari)
Menurut Ibn Abbas RA sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Kathir dalam tafsirnya, setiap kezaliman yang dilakukan dalam bulan-bulan haram dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. Sebaliknya, amalan soleh yang dilakukan pula akan digandakan pahalanya sebagai bukti kemuliaan waktu ini di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT:
إنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. (Surah al-Taubah: 36)
Zulhijjah merupakan bulan haram yang paling menonjol dengan pelaksanaan ibadah haji sebagai rukun Islam kelima dan ibadah korban. Bagi mereka yang tidak mengerjakan haji, sangat digalakkan untuk berpuasa sunat pada 9 Zulhijjah, iaitu Hari Arafah.
Selain itu, Zulhijjah bukan sekadar bulan haji, tetapi juga merupakan salah satu daripada bulan haram yang dimuliakan Allah SWT. Ia membuka ruang yang luas untuk menggandakan amalan, menjauhi kezaliman serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dalam memanfaatkan kelebihan Zulhijjah, secara tidak langsung kita juga dapat mengejar kelebihan bulan haram dengan menggandakan amal soleh secara umum seperti puasa sunat, zikir, takbir, bersedekah serta mengajak orang ramai untuk sama-sama mengerjakan kebaikan.
PERTUBUHAN ILMU KEBAJIKAN DAKWAH MALAYSIA
𝗜𝗡𝗙𝗔𝗞 𝗭𝗨𝗟𝗛𝗜𝗝𝗝𝗔𝗛 𝗯𝗲𝗿𝘀𝗮𝗺𝗮 𝗣𝗜𝗞𝗗𝗠
https://www.pikdm.org.my/donations/10-zulhijjah
𝗗𝗮𝗳𝘁𝗮𝗿 𝗞𝗼𝗿𝗯𝗮𝗻 𝗯𝗲𝗿𝘀𝗮𝗺𝗮 𝗣𝗜𝗞𝗗𝗠
https://www.pikdm.org.my/korban-1446h/
𝗦𝗲𝗱𝗲𝗸𝗮𝗵 𝗗𝗮𝗴𝗶𝗻𝗴 𝗯𝗲𝗿𝘀𝗮𝗺𝗮 𝗣𝗜𝗞𝗗
https://pay.pikdm.org.my/sedekah-daging-1446h-2025/



