1. Tidak Memotong Rambut dan Kuku
Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW beliau berkata: Rasulullah Saw bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ
Seiapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, maka janganlah dia memotong rambutnya, mahupun kukunya sehingga dia selesai berkorban.
(HR Muslim: Sahih)
Perbuatan ini merupakan lambang pengagungan terhadap ibadah korban, seumpama larangan ke atas jemaah haji yang berihram daripada memotong rambut dan kuku.
2. Berniat untuk Berkorban
‘Alqamah bin Waqas al-Laythi berkata: Saya mendengar ‘Umar bin al-Khattab RA berkata di atas mimbar: Saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
إنَّما الأعْمالُ بالنِّيّاتِ، وإنَّما لِكُلِّ امْرِئٍ ما نَوَى
Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niatkan.
(HR al-Bukhari dan Muslim)
Niat merupakan asas kepada setiap ibadah. Sesiapa yang telah menetapkan niat untuk berkorban sejak awal, maka ganjaran pahala tetap dikira di sisi Allah SWT, meskipun ibadah tersebut belum dilaksanakan.
3. Memilih Haiwan Korban yang Sempurna
Daripada al-Bara’ bin ‘Azib RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أربعٌ لا تجوزُ في الأضاحي العوراءُ البيِّنُ عَوَرُها والمريضةُ البيِّنُ مرَضُها والعرجاءُ البيِّنُ ظَلَعُها والكسيرةُ التي لا تُنقِي
Empat perkara yang tidak boleh ada pada haiwan korban adalah yang jelas buta matanya, yang ketara sakitnya, yang ketara tempang kakinya dan yang kurus kering tidak ada sum-sumnya.
(HR Abu Daud: Sahih)
4. Menyembelih Sendiri atau Menyaksikan Sembelihan
Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata:
ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ، وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا
Rasulullah SAW berkorban dengan dua ekor jantan kibas (kambing biri-biri) putih bertompok kehitaman lagi bertanduk, Baginda menyembelih keduanya dengan tangannya, lalu mengucapkan basmallah serta bertakbir, dan Baginda meletakkan kakinya di antara leher dan badan kedua haiwan tersebut.
(HR al-Bukhari dan Muslim)
Sunnah penyembelihan haiwan korban yang ditunjukkan Rasulullah SAW adalah dengan menyebut nama Allah kemudian bertakbir. Posisi kaki Baginda diletakkan antara leher dan badan haiwan korban ketika penyembelihan dilaksanakan.
5. Bertakbir Pada Hari-Hari Tasyriq
Firman Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 28:
وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ
Memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu
Ibn ‘Abbas RA menjelaskan, hari-hari tertentu yang dimaksudkan di sini adalah hari-hari tasyriq. Iaitu 11 hingga 13 Zulhijjah.
6. Memakan Daging Korban
Pada ayat 36 Surah al-Haj pula, Allah SWT berfirman:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ
Makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta.
Semasa awal kedatangan Islam, terdapat larangan menyimpan daging korban melebihi tiga hari. Namun setelah itu, larangan tersebut telah dibatalkan berdasarkan riwayat daripada Buraidah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
كنتُ نَهَيتُكم عن لُحومِ الأضاحيِّ فَوقَ ثلاثٍ، ليتَّسعَ ذو الطَّولِ علَى مَن لا طَولَ لَهُ، فَكلوا ما بدا لَكم وأطعِموا وادَّخِروا
Dahulu saya melarang kamu daripada (menyimpan) daging korban melebihi tiga hari, agar orang yang memiliki kecukupan memberikan keluasan kepada orang yang tidak memiliki kecukupan. Namun (sekarang), makanlah semahu kamu, berilah makan, dan simpanlah.
(HR al-Tirmidhi: Sahih)
7. Melaksanakan Korban Pada Hari Raya dan Hari Tasyriq (10–13 Zulhijjah)
Daripada Nubayshah al-Dhubali, Rasulullah SAW bersabda:
أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ، وَشُرْبٍ، وَذِكْرِ اللهِ
Hari-hari tasyriq adalah hari makan, minum dan mengingati Allah.
(HR Ahmad: Sahih)
Waktu pelaksanaan ibadah korban bermula sejurus selepas solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah dan berakhir sebelum terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.
𝐃𝐚𝐟𝐭𝐚𝐫 𝐊𝐨𝐫𝐛𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐚𝐦𝐚 𝐏𝐈𝐊𝐃𝐌 – https://www.pikdm.org.my/korban-1446h/



