“Setiap kali kami menandatangani semula papan perasmian Surau ini, seakan kami memperbaharui janji untuk terus bersama mereka.”
Ziarah singkat ke Sekolah Agama Rakyat Al-Fareed di Beluran Sandakan ini membawa seribu makna buat kami di PIKDM. Antara ramai pelajar ini ada 20 anak-anak asnaf/yatim tajaan PIKDM yang bersemangat luar biasa belajar di sini.
Misi Ziarah Projek Angkat PIKDM
Sekolah Agama Rakyat Al-Fareed, Beluran Sabah
Tarikh: Jumaat, 24 Oktober 2025
Lokasi: Beluran, Sabah
Alhamdulillah, ziarah singkat PIKDM mengakhiri Misi Projek Water4Life & Ziarah yang disempurnakan sebelum Pasukan PIKDM berangkat pulang.
Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al-Fareed merupakan salah satu sekolah di bawah Projek Angkat PIKDM Tahun 2020–2025 yang menaja yuran bulanan seramai 20 pelajar asnaf dan yatim di sini.
Aktiviti Sepanjang Misi
1. Jamuan minum petang di Surau PIKDM
Pasukan PIKDM dijamu minum petang bersama guru dan wakil sekolah di Surau PIKDM yang terletak dalam kawasan SAR Al-Fareed.
2. Perbaharui Tandatangan Papan Perasmian Surau
Tandatangan di papan perasmian Surau PIKDM diperbaharui sebagai simbolik kepada kesinambungan hubungan dan amanah dakwah yang terus hidup setiap kali PIKDM turun misi ke Sabah.
“Ibarat setiap tahun, tandatangan ini diperbaharui dengan niat memperbaharui tekad dan kasih dalam perjuangan ilmu, kebajikan dan dakwah.”
3. Berinteraksi Bersama Pelajar Sesi Petang
Pasukan PIKDM sempat menyantuni pelajar yang baru tiba ke sekolah, merakam momen kehadiran mereka ke kelas serta melihat sendiri suasana pembelajaran di sekolah ini.
4. Ustaz Izzat Menyantuni Pelajar
Penasihat Agama PIKDM, Ustaz Muhammad Izzat Che Husin, turut berpeluang berkenalan dan memberi nasihat ringkas buat para pelajar agar terus bersemangat menuntut ilmu dan menjaga adab.
5. Serahan Sumbangan dan Plak Penghargaan
PIKDM menyerahkan sumbangan roti Gardenia buat pelajar serta plak penghargaan Projek Angkat PIKDM 2025 kepada guru sekolah mewakili Ustaz Farid, Pengerusi SAR Al-Fareed, yang sedang berada di luar kawasan atas tugasan kerja.
Harapan dan Doa
Ziarah kali ini walaupun singkat, ia bukan sekadar kunjungan tetapi tanda kasih dan komitmen PIKDM untuk terus memastikan setiap Projek Angkat berjaya melahirkan pelajar yang berilmu, beradab dan berjiwa dakwah.
“Kami melihat masa depan ummah melalui mata anak-anak ini. Dari sekolah ini bakal lahirlah generasi yang bakal menyambung perjuangan.”
Terima kasih kepada semua penaja yang terus istiqamah menyokong PIKDM dalam usaha menyemai ilmu dan kebajikan di bumi Sabah. Semoga Allah terus memberkati setiap titipan infak dan doa kalian.
Sertai INFAK Projek Angkat PIKDM:
https://www.pikdm.org.my/projek-angkat-pikdm-2025/




























