Hari Arafah merupakan sebaik-baik hari untuk dipanjatkan doa. Oleh itu pada hari ini adalah antara hari yang terbaik untuk memanjatkan doa dengan penuh keyakinan agar doa tersebut dimakbulkan. Selain itu kesinambungan dengan hari Arafah juga, Allah SWT membebaskan ramai hamba daripada api neraka dan membanggakan mereka di hadapan para malaikat. Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَإِنَّهُ لَيَدْنُو، ثُمَّ يُبَاهِي بِهِمِ الْمَلَائِكَةَ، فَيَقُولُ: مَا أَرَادَ هَؤُلَاءِ؟
“Tidak ada satu hari pun yang Allah lebih banyak membebaskan hamba daripada api neraka selain Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah akan mendekat (dengan rahmat-Nya), lalu membanggakan mereka (yakni para jemaah yang berhimpun di Arafah) di hadapan para malaikat sambil berkata: Apakah yang diinginkan oleh mereka ini?”
(HR Muslim)
Ibn Abi al-Dunya meriwayatkan Ali bin Abi Talib berkata ketika berada di Arafah: Aku tidak akan meninggalkan tempat ini (yakni wukuf di Arafah) selama aku masih mampu mendatanginya, kerana tidak ada satu pun hari di muka bumi ini yang lebih banyak dilakukan pembebasan hamba daripada api neraka selain Hari Arafah. Maka perbanyakkanlah pada hari itu doa berikut:
اللَّهُمَّ أَعْتِقْ رَقَبَتِي مِنَ النَّارِ، وَأَوْسِعْ لِي فِي الرِّزْقِ الْحَلَالِ، وَاصْرِفْ عَنِّي فُسَّاقَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ
“Ya Allah, bebaskan leherku daripada api neraka, luaskanlah untukku rezeki yang halal, dan jauhkanlah aku daripada para pendosa dalam kalangan jin dan manusia.”
Selain doa, memperbanyakkan zikir dan puji-pujian kepada Allah SWT sangat digalakkan pada hari ini. Antara lafaz zikir yang banyak diucapkan pada hari Arafah adalah sebagaimana berikut:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ
(Tiada Tuhan melainkan Allah, Dia Esa dan tiada sekutu bagi-Nya, Dia memiliki Kerajaan dan segala puji adalah untuk-Nya, dan Allah Maha berkuasa atas segala sesuatu).
PERTUBUHAN ILMU KEBAJIKAN DAKWAH MALAYSIA
INFAK ZULHIJJAH bersama PIKDM
https://www.pikdm.org.my/donations/10-zulhijjah



