Hari Arafah ialah 9 Zulhijjah iaitu sehari sebelum Aidiladha. Hari ini merupakan hari jemaah haji berkumpul di Padang Arafah untuk berwukuf yang merupakan rukun haji yang paling utama.
Bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji, sangat digalakkan untuk berpuasa pada hari ini kerana ganjarannya amat besar. Antara keutamaannya adalah pengampunan dosa selama dua tahun. Diriwayatkan oleh Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ
“Puasa hari Arafah, saya berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun selepasnya.”
(HR Muslim)
Ibn Qayyim menyatakan bahawa Hari Arafah adalah hari paling afdhal sepanjang tahun, dan Rasulullah SAW menyebut bahawa doa pada hari ini adalah yang paling mustajab.
Justeru, amat disarankan untuk memperbanyakkan doa, zikir dan istighfar sepanjang hari. Namun, puasa ini tidak disyariatkan bagi jemaah haji kerana mereka memerlukan kekuatan untuk berwukuf. Perlu diingat, tarikh 9 Zulhijjah mungkin berbeza mengikut negara, bergantung kepada rukyah hilal serta hisab di tempat masing-masing. Justeru, pengumuman rasmi Aidiladha perlu dirujuk kepada pihak berkuasa agama sekaligus menentukan tarikh permulaan bulan Zulhijjah dan juga tarikh sebenar untuk dilaksanakan puasa Arafah mengikut waktu tempatan.
PERTUBUHAN ILMU KEBAJIKAN DAKWAH MALAYSIA
INFAK ZULHIJJAH bersama PIKDM
https://www.pikdm.org.my/donations/10-zulhijjah
Sedekah korban bersama PIKDM dibuka hingga 4 Jun
https://pay.pikdm.org.my/sedekah-daging-1446h-2025/



