PUASA PALING UTAMA SELEPAS RAMADAN
Dalam himpunan amalan sunat, puasa Asyura’ (10 Muharram) mempunyai kedudukan yang sangat istimewa. Puasa Asyura’ disebut dalam hadis sahih sebagai sebab penghapusan dosa-dosa kecil setahun yang lalu. Nabi SAW sendiri berpuasa pada hari tersebut setelah mendapati kaum Yahudi berpuasa sebagai tanda syukur atas keselamatan Nabi Musa AS dan Bani Israel. Baginda SAW bersabda:
فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ
“Aku lebih berhak terhadap Musa daripada kamu.”
(HR al-Bukhari)
Mengikut takwim 1448H, 10 Muharram tahun ini jatuh pada hari Jumaat. Meskipun dibolehkan berpuasa pada hari tersebut kerana ia mempunyai kelebihan khusus, para ulama menganjurkan agar ia digabungkan dengan 9 Muharram (Khamis) atau 11 Muharram (Sabtu), sebagai langkah keluar daripada khilaf dan lebih mendekati sunnah. Abdullah bin Abbas meriwayatkan:
حِينَ صَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ.
“Apabila Rasulullah SAW berpuasa pada Hari Asyura dan menyuruh umat Islam berpuasa pada Hari Asyura, para sahabat berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya ia merupakan hari yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Kristian. Rasulullah SAW pun bersabda: Tahun depan, insya-Allah kita akan berpuasa pada hari kesembilan bulan Muharram.”
Ibn Abbas berkata: Tetapi pada tahun berikutnya, Rasulullah SAW telah wafat.
(HR Muslim)
Saranan berpuasa ini juga secara tidak langsung menunjukkan acara makan-makan di siang hari bulan Muharram sebaiknya diminimakan bagi memberi peluang kepada umat Islam untuk mengamalkan sunnah Puasa Asyura ini.
PERTUBUHAN ILMU KEBAJIKAN DAKWAH MALAYSIA
Ikuti kemaskini aktiviti PIKDM
https://linktr.ee/PIKDM
www.pikdm.org.my
Sumber: Facebook PIKDM



