Setiap rezeki yang kita kecapi seperti makanan, kesihatan, ilmu, masa dan keamanan bukan sekadar keselesaan, malah persoalan yang menunggu jawapan di hadapan Allah SWT. Firman Allah SWT:
ثُمَّ لَتُسۡـَٔلُنَّ يَوۡمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
“Sesungguhnya pada hari itu kamu pasti akan ditanya tentang segala nikmat.”
(Surah al-Takathur:)
Rasulullah SAW pernah mengingatkan para sahabat selepas mereka dijamu bahawa nikmat yang baru dinikmati akan ditanya di Hari Kiamat. Persoalan awal menyentuh nikmat asas seperti tubuh yang sihat dan air yang sejuk, sementara dua nikmat yang sering dilalaikan ialah kesihatan dan waktu lapang. Perkataan al-Na’im bermaksud nikmat yang banyak dan berterusan maka ia halal dinikmati. Namun ia merupakan amanah yang wajib diurus dengan takwa agar tidak melalaikan hati daripada akhirat.
Syukurilah setiap nikmat dengan zikir, doa dan sedekah, menjauhi pembaziran, serta menjadikan makan, minum, harta dan masa sebagai modal ketaatan. Gunakan kesihatan untuk beramal, waktu lapang untuk menuntut ilmu dan berkhidmat, harta untuk membantu manusia, dan ilmu al-Quran serta Sunnah untuk disampaikan. Sentiasalah mengingatkan diri bahawa setiap nikmat yang dikurniakan merupakan ujian yang akan ditanya kelak.



