https://youtube.com/shorts/pIAbPVhwjS8?si=ucrWO5xBYXBWy6yP
Daripada petikan video Ustaz Hisham Abu Yusoff ini, saya merumuskan satu pengajaran yang sangat besar.
Rasulullah SAW tidak menghantar ratusan orang ke Madinah. Baginda mengutuskan seorang sahabat, Mus’ab bin ‘Umair RA. Dengan izin Allah, usaha seorang insan yang ikhlas menjadi sebab Islam tersebar luas di Madinah.
Pengajarannya, perubahan besar tidak semestinya bermula dengan jumlah yang ramai, tetapi dengan segelintir insan yang sanggup memikul amanah kerana Allah.
Sebab itu saya tidak pernah memandang kecil peranan setiap penginfak, tenaga pengajar, guru Al Quran, sukarelawan, ahli media dan rakan strategik PIKDM.
Mungkin seorang guru hanya mengajar beberapa orang pelajar. Mungkin seorang penginfak hanya mampu menyumbang sedikit. Mungkin seorang sukarelawan hanya mampu memberi sedikit masa dan tenaga. Namun, kita tidak pernah tahu amalan yang kecil pada pandangan manusia itulah yang Allah jadikan asbab kepada perubahan yang besar.
Ustaz Hisyam Yusoff turut mengingatkan tentang satu ‘racun’ yang membunuh umat dari dalam, iaitu sikap:
“Biarlah orang lain yang menyumbang. Biarlah orang lain yang mengajar. Biarlah orang lain yang membina masjid. “Biarlah orang lain yang membina sekolah. Biarlah orang lain yang mengubah persepsi masyarakat terhadap Islam.”
Apabila setiap orang berfikir begitu, akhirnya tiada siapa yang memikul amanah. Inilah racun dalam hati yang melemahkan umat tanpa kita sedari.
Terus terang, video ini juga menjadi satu teguran buat diri saya. Saya tidak mahu hanya menunggu seorang ustaz untuk menulis atau memberi tazkirah, seorang ahli media untuk menghasilkan bahan, atau seorang pengarah untuk memulakan arahan. Jika ada sesuatu kebaikan yang mampu saya lakukan, biarlah saya memulakannya mengikut kemampuan yang Allah berikan. Anda juga mampu lakukan kebaikan ini, mungkin dengan membantu perjuangan ini atau sesiapa yang memerlukan pertolongan..
Kerana jika kita semua menunggu orang lain memulakan, akhirnya tiada siapa yang bergerak. Tetapi apabila setiap daripada kita sanggup memikul sedikit amanah mengikut kemampuan, insya-Allah banyak urusan dakwah akan terus hidup dan berkembang.
Sejarah Islam tidak dibina oleh mereka yang sekadar menunggu orang lain bertindak, tetapi oleh mereka yang berkata, “Biar aku mulakan.”
Semoga Allah menjadikan kita dalam kalangan mereka yang tidak sekadar melihat keperluan, tetapi turut bangkit mengisi keperluan itu.
Semoga setiap penginfak, tenaga pengajar, sukarelawan, ahli media dan seluruh warga PIKDM terus diberi kekuatan untuk memikul amanah ini dengan penuh keikhlasan kerana Allah walau dalam kemelut ujian ekonomi yang sedang kita semua hadapi.
Semoga Allah permudahkan urusan rezeki kita semua dan terus istiqamah pada jalan ini.
Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.
Lynnda Abbas
PIKDM
======
https://www.pikdm.org.my/donations/tabung-dana-kuliah/
======
https://www.pikdm.org.my/pelancaran-dana-kilat-rm5000/
Sumber: Facebook PIKDM


