“Perjalanan jauh demi setitis kehidupan.”
Perjalanan pasukan PIKDM bersama Pertubuhan Ihsanku Malaysia bermula dari Sandakan ke Paitan mengambil masa 5 jam menempuh laluan offroad sebelum sampai ke Pekan Paitan.
Dari jeti Paitan, perlu menyeberangi sungai dan laut hampir 2 jam menuju ke Pulau Jambongan.
Tiba di Pulau Jambongan disambut dengan hidangan makan tengah hari menu makanan laut.
“Di tengah kekurangan, mereka masih memilih untuk memberi.”
Selesai makan tengah hari dan solat jamak qasar dalam keadaan tiada elektrik di siang hari mungkin sudah biasa bagi penduduk di sini berbanding kita yang biasanya solat di bawah kipas dan berhawa dingin.
Bayangkan, di sini waktu panas — nak mandi banyak kali pun terfikir sumber air dari tadahan hujan entah banyak mana lebihan dalam tangki yang berbaki. Kalau dah biasa ke sini, akan tahulah betapa bernilainya air.
Bila kita turun misi, kita sentiasa kena ingatkan diri — pergi tempat orang kena sesuaikan dengan tempat orang, bukan sesuaikan kehendak kita. Ini misi kemanusiaan, bukan misi melancong. Kalau nak rasa kepayahan orang lain, kita sendiri kena rasai — baru kita tahu hargai erti syukur.
Sepanjang misi, kami cuba habiskan aktiviti di luar lebih lama. Di pulau ini, elektrik hanya dinyalakan pada waktu malam sahaja — 6 petang hingga 6 pagi. Begitulah rutin harian mereka demi menjimatkan kos petrol yang menghidupkan enjin generator.
Jika generator dihidupkan 24 jam, kos minyak petrol bakal mencecah RM1,500 sebulan, sedangkan majoriti penduduk di sini adalah nelayan yang beroleh pendapatan RM1,000 lebih.
Dari Homestay MADS, kami meneruskan lawatan ke Kg. Hujung melihat lokasi pembinaan Projek Water4Life PIKDM X IHSANKU.
Kami dibawa melihat oleh Team MADS perigi lama yang keruh airnya bakal digantikan dengan kolam takungan besar 30×60 kaki dan sistem penapisan bertingkat bagi menyalurkan air bersih ke rumah-rumah penduduk.
Misi ini selain melakukan site visit bagi kontraktor, sekaligus untuk tujuan dokumentasi oleh Tim Media PIKDM bagi meyakinkan lagi para penginfak PIKDM.
Malamnya diadakan Kuliah Maghrib bersama Ustaz Izzat & Ustaz Hisham, disusuli jamuan makan sekampung dan penyampaian buku “Hipokrasi Ikhlas” kepada pemenang kuiz.
Misi PIKDM terus menerapkan nilai kemanusiaan, kebajikan dan dakwah.
“Ilmu, kasih dan rezeki dikongsi bersama. Inilah rahmah sebenar sebuah perjalanan.”
Misi ini bukan sekadar membina kolam air bersih, tetapi membina kehidupan dan harapan.
“Setitis air hari ini, lautan pahala esok.”
Infak Sekarang : https://www.pikdm.org.my/donations/pembinaan-sistem-air-bersih/

































































