Ibadah korban merupakan simbol ketaatan dan pengorbanan kepada Allah SWT. Ia mengingatkan kita kepada kisah agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam mematuhi perintah Ilahi. Selain itu, korban juga merupakan ibadah dan salah satu cara menghampirkan diri kepada Allah yang turut menjadi sunnah Nabi Muhammad SAW. Tiada khilaf dalam kalangan ulama berhubung kenyataan ini. Lantaran iitu, apabila seseorang melakukan ibadah korban pastinya akan diberikan ganjaran oleh Allah Ta’ala kerana melaksanakan tuntutan dan syi’ar dalam Islam.
Korban yang dilaksanakan mestilah dengan menyembelih haiwan ternakan tertentu seperti unta, lembu, kambing atau biri-biri. Namun, yang paling afdal adalah kambing atau biri-biri bagi meneladani kisah Nabi Ibrahim AS yang menyembelih kibas sebagai ganti Nabi Ismail AS.
Antara sunnah individu yang bakal melaksanakan ibadah korban adalah dengan menahan diri daripada memotong rambut dan kuku. Daripada Ummu Salamah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
إذا دَخَلَتِ العَشْرُ، وأَرادَ أحَدُكُمْ أنْ يُضَحِّيَ، فلا يَمَسَّ مِن شَعَرِهِ وبَشَرِهِ شيئًا
Apabila telah masuk sepuluh (hari awal Zulhijjah) dan salah seorang antara kamu mehu melakukan ibadah korban, maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya.
Namun begitu, perlu diketahui bahawa tiada hadis shahih yang mengkhususkan pahala tertentu kepada sesiapa yang melakukan korban. Antara kelebihan korban yang masyhur namun tidak sahih adalah haiwan korban menjadi tunggangan di akhirat nanti:
استفرهوا ضحاياكم فإنها مطاياكم على الصراط
Carilah haiwan yang cerdas sebagai binatang korban kamu, kerana sesungguhnya ia menjadi tunggangan kamu di atas titian sirat.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat ganjaran yang sahih apabila melaksanakan ibdah korban sisi Allah SWT. Daripada Ummul Mu’minin A’isyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).
(HR al-Tirmidhi: Hasan Gharib)
PERTUBUHAN ILMU KEBAJIKAN DAKWAH MALAYSIA
INFAK ZULHIJJAH bersama PIKDM
https://www.pikdm.org.my/donations/10-zulhijjah
Daftar Korban bersama PIKDM dibuka hingga 1 Jun
https://www.pikdm.org.my/korban-1446h/
Sedekah korban bersama PIKDM dibuka hingga 4 Jun
https://pay.pikdm.org.my/sedekah-daging-1446h-2025/



