Sempena Majlis Hi-Tea Kutipan Amal Pikdm Pada 5/2/2023 Ruang Petaling Jaya

SEMPENA MAJLIS HI-TEA KUTIPAN AMAL PIKDM PADA 5/2/2023 RUANG PETALING JAYA
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.
Teks Ucapan Puan Pengerusi Puan Lynnda Abbas di Majlis Hi-Tea Kutipan Amal.
Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh.
Alhamdulillahhillazi binikmatihi thatimmussalihat….

اللَّهُمَّ صَلَّى عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍ
Ahlan wa sahlan saya ucapkan kepada semua tetamu yang sudi melapangkan diri hadir ke Majlis Kutipan Amal & Hi Tea PIKDM. Semoga Allah SWT memberi limpah kurniaNya, juga memberkati majlis kita pada hari ini. Aameen, Insya Allah.

Hadirin yang saya hormati, Dato, Datin, Rakan NGO, Rakan Strategik dan yang teristimewa Para Penginfak budiman PIKDM yang menaja dan yang menyumbang.

Semoga Allah ganjari rezeki yang berlipatkaliganda buat kalian.

Pada tahun 2008 bermulanya kerja kebajikan secara solo. Allah hadirkan insan-insan yang mahu dibantu tanpa perlu dicari. Dikelilingi sahabat-sahabat yang diuji, didatangi mereka yang berkongsi suka duka. Dipelawa sahabat usrah untuk melihat dan membantu asnaf-asnaf yang memerlukan bantuan. Bertitik tolak daripada Allah datangkan insan-insan yang diuji, Allah juga sedang melunakkan hati ini. Saban hari mendidik hati tentang rasa ihsan dan prihatin.

Memegang kata Buya Hamka:

“Orang berakal hidup untuk masyarakatnya, bukan buat dirinya sendiri.”

Tidak dapat dinafikan, kepercayaan yang tidak berbelah bahagi para penginfak semua juga memainkan peranan utama untuk saya terus berdiri teguh di sini. Alhamdulillahhillazi binikmatihi thatimmussalihat.

Barakallahu feekum buat para penginfak semua.

Lantaran bertitik tolak daripada pelbagai liku dan arus yang ditempuhi sepanjang penglibatan dalam dunia misi kebajikan dan dakwah, maka tertubuhnya PIKDM pada tahun 2019 yang menjadi satu wadah rasmi saya serta pasukan untuk menggalas amanah para penginfak yang telah menyalurkan sumbangan bagi menjayakan projek-projek sedari sebelum PIKDM ditubuhkan lagi.

Pasukan PIKDM ibarat sebuah keluarga yang besar. Bertemu dan berpisah kerana Allah.

Memetik butir hikmah Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyah, beliau menukilkan:

“Bila seseorang menghabiskan waktunya untuk Allah, maka Allah akan mengurus semua keperluannya dan menghapuskan segala kekhuatirannya. Allah akan mengosongkan hatinya agar hanya dipenuhi dengan kecintaan kepadaNya.”

Sungguh rahmat Allah itu luas meliputi langit dan bumi. Justeru Allah anugerahkan ahli keluarga PIKDM yang sentiasa bersedia memberikan yang terbaik demi menuju ketaatan kepada Allah SWT.

Alhamdulillah, setelah PIKDM didaftarkan secara rasmi, maka usaha kami lebih tertumpu kepada pengumpulan dana untuk kelansungan projek-projek lama dan juga baharu yang memerlukan perhatian kerana impaknya amatlah besar khususnya buat para penerima sumbangan.

Usaha mengelola sebuah bahtera bukanlah mudah. Namun, begitulah rencah sebuah kehidupan.

Ada gula adalah garam, ada manis adalah masam. Namun semua itu lebih mengeratkan ukhuwwah kita selama pelayarannya.

Segala cabaran ini menambah kekuatan diri demi mengharap balasan pahala daripada Allah agar terus dapat berbakti kepada masyarakat.

Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya:

“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu kelelahan, atau penyakit, atau kekhuatiran, atau kesedihan, atau gangguan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya kerananya”.

Hadis ini adalah sahih yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

Justeru, kita sangat berharap agar PIKDM dapat menjadi salah satu jalan saham pelaburan akhirat buat kita semua untuk dijadikan bekalan di akhirat kelak.

Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW:

“Mayat itu diikuti oleh tiga golongan, akan kembali dua golongan dan satu golongan akan tetap menemaninya. Dia akan diikuti oleh keluarganya, hartanya dan amalnya. Maka keluarga dan hartanya akan kembali pulang, sementara amalnya akan tetap menemaninya.”

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Seperti yang kita sedia maklum, pertubuhan ini dibina atas prinsip, Ilmu bil Amal, Amal bil Ihsan, Dakwah bil Hikmah. Pelbagai lagi usaha yang kita sedang rencanakan agar sentiasa dapat menambah baik gerak kerja PIKDM dari semasa ke semasa.

Sehubungan dengan itu, PIKDM terus komited menjadi jambatan penghubung antara para penginfak dan penerima sumbangan.

Antara projek tahunan yang bakal dilancarkan oleh PIKDM tidak lama lagi adalah Projek Ramadan 1444H.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, bulan Ramadan kian menghampiri kita. Semoga Allah SWT menemukan kita dengan bulan yang penuh keberkatan ini.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang kita saling berlumba meningkatkan keimanan melalui amal soleh antaranya melalui platform sedekah.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hadid ayat 18:

“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.”

Justeru, PIKDM menyeru para penginfak budiman untuk terus menyokong gerak kerja PIKDM dengan menyalurkan sumbangan buat Projek Angkat PIKDM yang masih lagi memerlukan tajaan.

Bagi Ramadan yang bakal tiba ini, PIKDM juga memerlukan sejumlah dana yang besar bagi meneruskan tajaan iftar dan bantuan Pek Ramadan.

Marilah sama-sama kita meraih besarnya fadhilat bersedekah dan berinfak di jalan Allah SWT.

Akhir kalam sebelum mengundurkan diri, izinkan saya berkongsi secebis pesanan Imam al-Syafie:


“Jadikanlah akhirat di hatimu, dunia di tanganmu dan kematian di pelupuk matamu.”

Dengan lafaz Bismillah saya merasmikan Majlis Kutipan Amal & Hi Tea PIKDM.

*Aqulu qauli haza wa astaghfirullah al-‘Azim li walakum*.
(Maksud: Akulah yang menuturkan bicaraku ini lantas aku memohon keampunan Allah yang Maha Agung untukku dan untukmu).

Jazakumulllahhu khayran Jaza’ buat seluruh Team PIKDM yang tak tersenarai nama mahu disebut satu persatu yang telah bertungkus lumus merealisasikan majlis julung² kali ini, Setinggi-tinggi penghargaan terimakasih buat Cik Alyssa Diyana selaku Pengurus Operasi yang bertanggungjawab. Barakallahufeekum.

Klik untuk lihat video : https://fb.watch/jadQxBRve3/

Penyertaan & Sumbangan Projek Angkat 2024https://www.pikdm.org.my/projek-angkat-pikdm-2024/

Infaq Potongan Bulanan Secara Auto Debit : https://infaqbulanan.pikdm.org.my

Pembelian Buku Zikir Pagi & Petang : https://www.pikdm.org.my/bukuzikir

 

ATAU terus ke akaun

5627 4015 5175Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia

 

Sebarang Pertanyaan :

Pn Lynnda Abbas – Whatsapp : https://wa.link/85adwi

Pn Shaliza – Whatsapp : https://wa.link/j7irlz

CIK Alyssa – Whatsapp : https://wa.link/7euwpc  

 

Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia

(PPM-030-10-18122019)

Pautan

Hubungi

Saluran Perbankan

Maybank

Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia

5627-4015-5175

© Hak Cipta Terpelihara 2023 - Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia