Keistimewaan Bulan Rabiul Awwal
Rabiul Awwal merupakan bulan ketiga dalam kalender Hijrah. Bulan ini sangat istimewa kerana memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, selain kewafatan Baginda serta banyak peristiwa penting lain dalam sirah Baginda.
Rabiul Awwal terkenal dengan peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, namun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama mengenai tarikh sebenar kelahiran Baginda. Dalam bulan ini juga berlaku kewafatan Rasulullah SAW.
Hakikat sebenar cinta kepada Allah dan Rasul-Nya adalah dengan mengikuti setiap jejak langkah yang ditunjukkan Baginda SAW, sama ada dalam melaksanakan sesuatu amalan mahupun meninggalkan larangan.
Firman Allah SWT:
قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِی یُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَیَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورࣱ رَّحِیمࣱ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu benar-benar mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Ali Imran: 31)
Doa para sahabat ketika masuk bulan baharu:
اللهمَّ أَدْخِلْهُ عَلَينَا بالأَمْنِ والإِيمَانِ، والسَّلَامَةِ والإِسْلَامِ، وَجِوَارٍ مِنَ الشَّيطَانِ ورِضْوَانٍ من الرَّحْمَن
“Ya Allah, masukkanlah ia (bulan baharu) kepada kami dengan keamanan dan keimanan, kesejahteraan dan Islam, mendapat perlindungan daripada syaitan, serta mendapat keredaan daripada al-Rahman.”
Rujukan:
al-Tabrani, Mu‘jam al-Awsat (Kaherah: Dar al-Haramain, 1415H), 6:221
Ibn Hajar, al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1415H), 4:218



