Puasa Muharram bukan sekadar sunat bahkan ia merupakan peluang keemasan membuka lembaran baru Takwim Hijri dengan pahala yang besar. Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ صَلاَةٌ مِنَ اللَّيْلِ
“Sebaik-baik puasa setelah bulan Ramadan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardu adalah solat malam (Qiyamullail).”
(HR Abu Daud: Sahih)
Nabi SAW menganjurkan umat Islam untuk puasa pada 10 Muharram (‘Asyura) dan disertakan dengan 9 Muharram (Tasu’a) atau 11 Muharram, sebagai tanda menyelisihi golongan Yahudi. Abdullah bin Abbas meriwayatkan:
حِينَ صَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ.
“Apabila Rasulullah SAW berpuasa pada Hari Asyura dan menyuruh umat Islam berpuasa pada Hari Asyura, para sahabat berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya ia merupakan hari yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Kristian. Rasulullah SAW pun bersabda: Tahun depan, insya-Allah kita akan berpuasa pada hari kesembilan bulan Muharram.”
Ibn Abbas berkata: Tetapi pada tahun berikutnya, Rasulullah SAW telah wafat.
(HR Muslim)
Terdapat tiga pilihan kaedah pelaksanaan puasa ‘Asyura menurut para ulama:
- Puasa 9, 10 & 11 Muharram (paling afdal)
- Puasa 9 & 10 Muharram
- Puasa 10 Muharram sahaja
Rebut peluang gandaan pahala & teladani sunnah Rasulullah melalui Puasa Ayura.