[๐ฐ & ๐ฑ ๐๐ถ๐๐ฒ๐บ๐ฏ๐ฒ๐ฟ ๐ฎ๐ฌ๐ฎ๐ฐ]
๐๐ฒ๐น๐ฎ๐ป๐๐ฎ๐ป
Lokasi agihan: Daerah Tumpat & Pasir Mas
- PPS SK Kutan
- PPS SMK Chabang Empat
- Kg Nechang
- Maahad Tahfiz Abu Bakar
Kuantiti: 300 pek bantuan makanan/pakaian
Barang sumbangan: 7200 botol (300 karton (500ml) air mineral), baju, kain batik/pelikat, pakaian dalam, tuala wanita, makanan kering seperti biskut, roti, bijirin dan tidak ketinggalan mi cawan segera.
Misi agihan bantuan banjir kali ini menyasarkan empat lokasi terpilih melibatkan lokasi Pusat Pemindahan Sementara dan juga agihan terus kepada penduduk yang tidak berpindah ke pusat pemindahan rasmi. Barang-barang agihan daripada sumbangan para penginfak berupa air mineral, baju, kain batik/pelikat, pakaian dalam, tuala wanita, makanan kering seperti biskut, roti, bijirin dan tidak ketinggalan mi cawan segera.
Lokasi agihan pertama merupakan Pusat Pemindahan Sementara di SK Kutan yang majoriti penghuni merupakan penduduk dari Pengkalan Kubur. Pengkalan Kubur merupakan salah satu kawasan yang terletak di Tumpat iaitu salah satu jajahan yang terjejas teruk kerana banjir. Untuk lokasi ini, pihak pengurusan sendiri akan mengagihkan barang-barang yang diamanahkan tanpa campur tangan pihak luar.
Lokasi kedua disasarkan kepada Pusat Pemindahan Sementara di SMK Chabang Empat. Sumbangan sebanyak 23 karton air mineral yang menjadi keperluan asas disumbangkan kepada penghuni di sini.
Untuk lokasi ketiga, bahan-bahan agihan dibungkus untuk agihan penduduk Kampung Nechang, Tumpat yang tidak berpindah walaupun terputus bekalan makanan serta belum pernah mendapat sebarang bentuk bantuan. Penduduk kampung ini memilih untuk berpindah ke kediaman saudara-mara terdekat. Kampung ini terjejas teruk disebabkan paras air dari Sungai Golok yang terlalu tinggi dan sekarang berhadapan dengan banjir termenung. Sebahagian kediaman mereka musnah sepenuhnya dan terdapat haiwan-haiwan yang turut lemas seperti lembu, ayam dan juga kucing. Hanya istilah “air mata” yang digambarkan penduduk bagi menzahirkan keadaan mereka.
Pun begitu, semangat kerjasama penduduk setempat sangat wajar dipuji. Keadaan kudrat dan logistik team PIKDM yang sangat terhad disempurnakan sebaiknya oleh penduduk setempat. Bermula dari lokasi pengumpulan barang sehinggalah kepada agihan kepada penduduk yang layak semua melibatkan bantuan daripada penduduk Kampung Nechang. Mereka bahkan tidak keberatan meminjamkan kenderaan 4X4, lori, kereta, motosikal termasuk perahu ke kawasan yang tidak dapat diakses pihak kami. Penerima-penerima yang paling layak dikenalpasti dengan sebaiknya agar tiada ketirisan berlaku.
Benarlah kata orang, mereka yang pernah berasa susah tidak akan sewenangnya menganiaya orang lain. Lantaran itu, mereka berusaha sehabis baik agar amanah penginfak sampai ke tangan mereka yang benar-benar memerlukan. Walaupun hanya sebungkus beg plastik yang diterima, namun amat besar ertinya kepada mereka.
Seterusnya lokasi terakhir yang dituju adalah tempat pengumpulan barangan sumbangan di Maahad Tahfiz Abu Bakar. Barangan sumbangan dihantar ke sini untuk dibungkus dan diagihkan ke kawasan-kawasan terjejas banjir lain yang memerlukan. Pihak MATAB menjelaskan untuk agihan bantuan seterusnya, mereka akan menfokuskan kepada barangan keperluan seperti selimut dan tilam memandangkan kebanyakan barang keperluan rumah mangsa rosak dek kerana banjir.
Pihak PIKDM mewakili seluruh penerima sumbangan mengucapkan jazakumullahu khairan kepada para penginfak, juga rakan strategik ‘wow kawยฒ’ atas ingatan dan sumbangan yang diberikan. Pihak kami juga mewakili para penginfak, mengucapkan jazakumullahu khairan kepada para mangsa banjir penerima sumbangan kerana membuka ruang kepada para penginfak untuk sama-sama mengutip pahala di sebalik ujian yang dikurniakan Allah SWT ini.
Laporan dari AJK PIKDM di Kelantan.
Farha Faleh Lai
==============
โช๏ธIlmu bil Amal, โช๏ธAmal bil Ihsan, โช๏ธDakwah bil Hikmah.