SUMBER MAKANAN YANG HALAL & SYARAT PENERIMAAN DOA
الحلال من المطعم وشرط قبول الدعاء
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang beriman dengan apa yang telah Dia perintahkan para rasul. Maka Allah berfirman: ‘Wahai para rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik dan beramallah dengan amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.’ (Surah al-Mu’minun, 23:51). Allah berfirman lagi: ‘Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada rezeki yang baik-baik yang telah Kami rezekikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah jika benar kamu hanya menyembah-Nya.’ (Surah al-Baqarah, 2:172)
Kemudian baginda ﷺ menyebut tentang seorang lelaki yang telah lama bermusafir, kusut masai rambutnya, berdebu tubuhnya, dia menadah tangan ke langit seraya berkata: ‘Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku,’ sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia dibesarkan dengan perkara haram. Maka bagaimana doanya akan diterima?”
(Hadis Riwayat Muslim, no. 1015)
Pengajaran & Renungan Bersama
- Allah itu Maha Baik, hanya menerima amalan, sedekah dan doa daripada sumber yang halal.
- Perintah makan daripada rezeki halal bukan hanya kepada para rasul bahkan kepada seluruh umat Islam.
- Makanan halal dan berkat menjadi asas kekuatan rohani dan penerimaan amal ibadah.
- Rezeki haram menjadi penghalang utama doa diterima, walaupun seseorang berada dalam keadaan sangat mustajab.
- Antara sebab-sebab doa diterima ialah: bermusafir, berpakaian lusuh dan usang (bergantung pada situasi), mengangkat tangan ke langit serta merintih dengan menyebut nama Allah SWT.
- Doa bukan sekadar lafaz di lisan, tetapi berkait rapat dengan hati yang bersih dan rezeki yang halal.
- Orang beriman wajib berhati-hati dalam mencari nafkah kerana ia menentukan keberkatan hidup dan penerimaan doa.
Semoga kita tergolong dalam hamba Allah SWT yang sentiasa menjaga sumber rezeki agar halal dan berkat, serta doa-doa kita diterima oleh Allah yang Maha Mendengar.
Untuk menonton rakaman kuliah penuh, klik link di komen bawah.
Muhammad Izzat
Penasihat Agama, Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia (PIKDM)

![[tonton] kuliah dhuha hadis 40 imam nawawi part 10](https://www.pikdm.org.my/wp-content/uploads/2025/10/Tonton-Kuliah-Dhuha-Hadis-40-Imam-Nawawi-Part-10.png)

