Ibadah yang besar pada pandangan manusia belum tentu besar nilainya di sisi Allah jika tujuannya tersasar. Dalam Surah al-Kauthar, solat dan sembelihan disebut dengan penegasan yang sama; kedua-duanya mesti ditujukan kepada Allah semata-mata.
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban sebagai bersyukur.”
(Surah al-Kauthar: 2)
Korban bukan ruang mencari pengiktirafan sosial. Ia bukan alat untuk menonjolkan kemurahan hati, mengangkat nama penyumbang, mengukuhkan imej organisasi atau membina reputasi di hadapan manusia. Jika solat tidak boleh dilakukan untuk selain Allah, maka korban juga tidak boleh dicemari dengan niat memburu perhatian dan pujian.
Dalam suasana hari ini, kebaikan sangat mudah dipamerkan. Gambar boleh disebarkan, nama boleh diumumkan, jumlah sumbangan boleh dibandingkan dan penglibatan seseorang boleh dijadikan ukuran kedudukan. Di sinilah niat perlu dikawal supaya ibadah tidak berubah menjadi persembahan diri.
Umat Islam perlu membetulkan arah ibadah. Memberi bukan untuk dipuji. Menyumbang bukan untuk disebut. Mengurus korban bukan untuk dilihat paling berjasa. Setiap amal perlu kembali kepada prinsip asas iaitu segalanya kerana Allah, bukan kerana manusia.
Korban yang benar bukan hanya sah pada sembelihan, tetapi bersih pada tujuan. Tanpa ikhlas, ibadah boleh kelihatan besar di mata manusia, namun kehilangan nilai sebenar di sisi Allah.



