Kesilapan Kerap Pada Hari Jumaat

Hari Jumaat merupakan hari yang paling mulia di sisi Allah dalam satu minggu. Rasulullah SAW bersabda:

قَالَ خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ وَفِيهِ أُخْرِجَ مِنْهَا وَلَا تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ

Sebaik-baik hari adalah hari Jumaat, kerana pada hari itulah Adam diciptakan. Pada hari itu juga baginda dimasukkan ke dalam syurga, pada hari itu juga baginda dikeluarkan darinya dan hari kiamat tidak akan berlaku kecuali pada hari Jumaat.

(HR Muslim)

Berikut merupakan beberapa kesalahan secara sengaja atau tidak sengaja yang sering berlaku pada hari Jumaat:

1. Tidak meniatkan hari Jumaat sebagai hari ibadah

Kadang-kala kita terlupa menganggap hari Jumaat sebagai ibadah. Sebaliknya kita hanya menganggap solat Jumaat yang ditunaikan pada hari Jumaat hanyalah suatu rutin yang dilakukan sejak kecil. Sedangkan Rasulullah SAW bersabda:

إنَّما الأعْمالُ بالنِّيّاتِ، وإنَّما لِكُلِّ امْرِئٍ ما نَوَى

Semua amalan bergantung kepada niat dan setiap orang akan mendapatkan apa yang diniatkannya.

(HR al-Bukhari)

2. Sengaja meninggalkan solat Jumaat

Meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja termasuk dalam dosa paling besar. Sabda Rasulullah SAW:

لَيَنْتَهينَّ أقْوامٌ عن ودْعِهِمُ الجُمُعاتِ، أوْ لَيَخْتِمَنَّ اللَّهُ علَى قُلُوبِهِمْ، ثُمَّ لَيَكونُنَّ مِنَ الغافِلِينَ

Hendaklah manusia berhenti daripada meninggalkan solat Jumaat atau Allah akan mengunci hati-hati mereka lalu memasukkan mereka dalam kalangan orang-orang yang lalai.

(HR Muslim)

3. Sengaja melambatkan tidur pada malam Jumaat

Perbuatan ini menyebabkan individu terbabit tidak sempat solat subuh berjemaah di masjid. Sedangkan solat subuh adalah pemisah antara orang beriman dan orang munafik. Solat subuh berjemaah pada hari Jumaat mempunyai keutamaan yang khusus sepertimana sabda Rasulullah SAW:

أفضل الصلوات عند الله صلاة الصبح يوم الجمعة في جماعة

Solat yang paling utama di sisi Allah adalah solat subuh pada hari Jumaat secara berjemaah.

(HR al-Baihaqi: Sahih)

4. Sengaja lambat ke masjid agar tidak perlu mendengar khutbah

Terdapat juga sebahagian muslim yang sengaja hadir ke masjid ketika khutbah hampir tamat atau memasuki khutbah kedua. Terdapat juga segelintir yang sampai ketika khatib sudah selesai membaca khutbah. Sedangkan hukum mendengar khutbah Jumaat itu adalah wajib. Rasulullah SAW bersabda:

إذا كانَ يَوْمُ الجُمُعَةِ، كانَ علَى كُلِّ بابٍ مِن أبْوابِ المَسْجِدِ مَلائِكَةٌ يَكْتُبُونَ الأوَّلَ فالأوَّلَ، فإذا جَلَسَ الإمامُ طَوَوُا الصُّحُفَ، وجاؤُوا يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ، ومَثَلُ المُهَجِّرِ كَمَثَلِ الذي يُهْدِي البَدَنَةَ، ثُمَّ كالَّذِي يُهْدِي بَقَرَةً، ثُمَّ كالَّذِي يُهْدِي الكَبْشَ، ثُمَّ كالَّذِي يُهْدِي الدَّجاجَةَ، ثُمَّ كالَّذِي يُهْدِي البَيْضَةَ.

Apabila tiba hari Jumaat, para Malaikat akan berdiri di setiap pintu masjid, mencatat orang yang pertama hadir dan seterusnya. Apabila imam menaiki mimbar, maka mereka pun menutup buku catatan dan segera hadir mendengarkan khutbah. Perumpamaan orang yang terawal hadir adalah seperti mengorbankan seekor unta. Kemudian orang yang hadir sesudah itu, seperti orang yang mengorbankan seekor lembu. Kemudian seperti orang yang mengorbankan kibas. Kemudian seperti orang yang mengorbankan seekor ayam. Dan seterusnya seperti orang yang mengorbankan sebiji telur.

(HR Muslim)

5. Tidak mandi, meninggalkan wangian atau tidak memakai pakaian terbaik untuk solat Jumaat

Semua ini adalah amalan sunnah Rasulullah SAW. Sebahagian ulama mengatakannya wajib berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

غُسْلُ يَوْمِ الْجُمُعَةِ عَلَى كُلِّ مُحْتَلِمٍ، وَسِوَاكٌ، وَيَمَسُّ مِنَ الطِّيبِ مَا قَدَرَ عَلَيْهِ

Mandi pada hari Jumaat adalah wajib bagi setiap orang yang telah baligh, bersugi, dan memakai minyak wangi mengikut kemampuannya.

(HR Muslim)

Terdapat juga sabda Rasulullah SAW:

إذا جاء أحدُكم إلى الجمعة فليغتسل

Apabila setiap daripada kalian menghadiri solat Jumaat, hendaklah dia mandi.

(HR Bukhari dan Muslim)

6. Masih berjual beli ketika azan kedua

Daripada firman Allah SWT berikut, dapat kita fahami berjual beli pada waktu ini adalah haram:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎﴿٩﴾‏

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

(Surah al-Juma‘ah: 9)

7. Sengaja bermusafir pada hari Jumaat

8. Mengangkat suara dengan kuat walaupun untuk membaca al-Quran

Rasulullah SAW bersabda:

ألا إنَّ كلَّكم مُناجٍ ربَّهُ فلا يؤذِيَنَّ بعضُكم بعضًا ولا يرفعْ بعضُكم على بعضٍ في القراءةِ

Ketahuilah, kalian semua sedang bermunajat kepada Allah, maka janganlah saling mengganggu satu sama lain dan janganlah kalian mengeraskan suara ketika membaca al-Quran.

(HR Abu Daud dan Ahmad)

9. Tidak menumpukan perhatian kepada khutbah atau sibuk dengan perkata lain seperti main telefon, bermain game dan sebagainya

Sabda Rasulullah SAW:

مَن تَوَضَّأَ فأحْسَنَ الوُضُوءَ، ثُمَّ أتَى الجُمُعَةَ، فاسْتَمع وأَنْصَتَ، غُفِرَ له ما بيْنَهُ وبيْنَ الجُمُعَةِ، وزِيادَةُ ثَلاثَةِ أيَّامٍ، ومَن مَسَّ الحَصَى فقَدْ لَغا

Sesiapa yang berwuduk lalu memperelokkan wuduknya kemudian dia menghadiri solat Jumaat lalu dia mendengar khutbah dan diam, maka akan diampunkan dosa-dosanya antara hari Jumaat itu dengan Jumaat yang akan datang dan ditambah tiga hari. Dan sesiapa yang bermain anak batu, sesungguhnya dia telah melakukan perkara yang sia-sia.

(HR Muslim)

Oleh kerana itu, ketika khutbah Jumaat sedang berlangsung, kita dilarang sama sekali menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang dapat menjejaskan tumpuan mendengar khutbah yang disampaikan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَومَ الجُمُعَةِ: أنْصِتْ، والإِمَامُ يَخْطُبُ، فقَدْ لَغَوْتَ

Sekiranya kamu mengatakan kepada sahabatmu pada hari Jumaat: “Diamlah” sedangkan imam sedang menyampaikan khutbah Jumaat, sesungguhnya dia telah melakukan perkara yang sia-sia.

(HR Bukhari dan Muslim)

10. Segera meninggalkan masjid setelah memberi salam

Tergesa-gesa meninggalkan masjid setelah memberi salam sehingga terpaksa melintasi orang yang sedang menunaikan solat sunat atau bersesak-sesak di pintu masjid. Sedangkan sunnah Rasulullah SAW menyarankan kita bertafakur dan duduk sejenak untuk berzikir kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW:

مُعَقِّباتٌ لا يَخِيبُ قائِلُهُنَّ، أوْ فاعِلُهُنَّ، ثَلاثٌ وثَلاثُونَ تَسْبِيحَةً، وثَلاثٌ وثَلاثُونَ تَحْمِيدَةً، وأَرْبَعٌ وثَلاثُونَ تَكْبِيرَةً، في دُبُرِ كُلِّ صَلاةٍ

Terdapat berapa perkataan yang tidak merugikan orang yang mengucapkannya atau mengamalkannya. Iaitu 33 kali tasbih (subhanallah), 33 tahmid (alhamdulillah) dan 33 kali takbir (Allahu akbar) di akhir setiap solat.

(HR Muslim)

Unit Ilmu & Penerbitan PIKDM

5627 4015 5175Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia

 

Kesilapan-Kerap-Pada-Hari-Jumaat-2Kesilapan-Kerap-Pada-Hari-Jumaat-3
Kesilapan-Kerap-Pada-Hari-Jumaat-4Kesilapan-Kerap-Pada-Hari-Jumaat-5
Kesilapan-Kerap-Pada-Hari-Jumaat-6Kesilapan-Kerap-Pada-Hari-Jumaat-7
Kesilapan-Kerap-Pada-Hari-Jumaat-8Kesilapan-Kerap-Pada-Hari-Jumaat-9
Kesilapan-Kerap-Pada-Hari-Jumaat-10Kesilapan-Kerap-Pada-Hari-Jumaat-11

Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia

(PPM-030-10-18122019)

Pautan

Hubungi

Saluran Perbankan

Maybank

Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia

5627-4015-5175

© Hak Cipta Terpelihara 2023 - Pertubuhan Ilmu Kebajikan Dakwah Malaysia