- Hukum Zakat Emas Perhiasan yang Dipakai Sekali-Sekala
Dalam perbahasan fiqh zakat, emas perhiasan yang dipakai oleh wanita pada kebiasaannya tidak diwajibkan zakat, berdasarkan pandangan jumhur ulama daripada mazhab Maliki, Syafi‘e dan Hanbali.
Pemakaian yang dimaksudkan tidak disyaratkan berlaku setiap hari bahkan merangkumi pemakaian secara berkala mengikut adat kebiasaan setempat, seperti contoh ketika menghadiri majlis perkahwinan, kenduri atau majlis-majlis tertentu.
Oleh itu, emas yang dipakai sekali-sekala masih dikategorikan sebagai emas perhiasan, bukan emas simpanan.
Kewajipan zakat hanya dikenakan apabila emas tersebut tidak dipakai langsung dan disimpan sebagai simpanan harta atau pelaburan, atau apabila pemakaiannya melampaui adat kebiasaan sehingga menyerupai simpanan.
Dalam keadaan tersebut, apabila emas mencapai nisab sebanyak 85 gram dan cukup tempoh haul selama satu tahun, maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5 peratus daripada nilai emas tersebut.
- Pengiraan Zakat Emas Apabila Berpindah Negeri dan Perbezaan Had ‘Uruf
Memang benar terdapat perbezaan penetapan had ‘uruf berat emas perhiasan antara negeri termasuk Selangor berbanding negeri-negeri lain dan perbezaan ini bersifat pentadbiran berdasarkan adat setempat, bukan perbezaan hukum asas zakat.
Perbezaan Selangor dengan kebanyakan negeri lain dalam isu zakat emas bukan pada hukum asas, tetapi pada kaedah pentadbiran dan pengiraan berdasarkan ‘uruf (adat).
Di Selangor, pihak berkuasa zakat menetapkan bahawa emas perhiasan tetap dinilai dari sudut berat. Jika jumlah emas perhiasan melebihi had ‘uruf yang ditetapkan maka lebihan tersebut dikenakan zakat walaupun emas itu dipakai. Pendekatan ini bertujuan menilai sama ada pemilikan emas itu masih dalam lingkungan kebiasaan atau sudah menyerupai simpanan harta.
Di kebanyakan negeri lain pula, emas perhiasan yang dipakai mengikut adat kebiasaan biasanya tidak dikenakan zakat secara langsung tanpa menilai berat tertentu. Zakat hanya diwajibkan apabila emas itu tidak dipakai dan disimpan sebagai simpanan atau pelaburan serta memenuhi syarat nisab serta haul.
Ringkasnya di Selangor → lihat berat dan lebihan ‘uruf, walaupun dipakai.
Negeri-negeri lain → lihat fungsi emas (dipakai atau disimpan).
Namun perlu difahami, kedua-dua pendekatan ini masih berada dalam kerangka fiqh yang sah dan tidak bercanggah dari sudut prinsip cuma berbeza dari sudut ijtihad pentadbiran untuk kemaslahatan setempat.
Dalam kes seseorang yang menyimpan emas ketika tinggal di Selangor dan pada ketika itu emas tersebut telah memenuhi syarat zakat (cukup nisab dan haul) tetapi tidak dikeluarkan zakat maka kewajipan zakat tersebut telah pun wujud dan menjadi tanggungan walaupun beliau kini berpindah ke negeri lain.
Perpindahan negeri tidak menggugurkan kewajipan zakat yang tertunggak kerana zakat adalah hak Allah SWT yang terikat dengan harta. Oleh itu, zakat hendaklah dikira berdasarkan status emas ketika ia wajib dizakatkan dan pembayaran boleh dibuat di negeri semasa.
Jika terdapat kekeliruan tentang had ‘uruf atau kaedah pengiraan, jalan yang lebih selamat ialah mengira emas tersebut sebagai emas simpanan dan mengeluarkan zakat sebanyak 2.5 peratus.
Wallahu a’lam
Muhammad Izzat,
Penasihat Agama PIKDM.



