Happy Go To School ~ Paud Ala Manda.
Dalam Misi Kemanusiaan dan Kebajikan Pasca Gemba Bumi baru baru ini, kami dari PIKDM ada melaksanakan beberapa aktviti untuk warga di Cianjur, Indonesia. Salah satunya adalah “Happy Go To School” yang dipimpin oleh saya Cikgu Azwan Irwan dari PIKDM dan dibantu bersama tim yang lain dari PIKDM dan BRAVO.
Paud Ala Manda adalah nama sekolah jenis tadika yang menjadi pilihan dan destinasi untuk kami melaksanakan aktivti “Happy Go To School” ini. Sebelum tiba hari kejadian, beberapa ahli misi terutama pengerusi PIKDM sendiri iaitu Puan Lynnda Abbas sudah pun melakukan ‘recce’ dengan bertemu guru-guru dan sekaligus melihat sendiri keadaan Paud Ala Manda itu yang dikendalikan dibawah khemah sementara. Tiada istilah kelas terhenti akibat bangunan retak dan roboh. Paud Alamanda menjadi pilihan utama adalah disebabkan keadaan sekolah itu yang turut terjejas akibat gempa bumi dan timbulnya rasa tanggungjawab dan kasih sayang untuk kami menyantuni anak-anak yang bersekolah di sekolah itu.
Bila tiba hari kejadian, PIKDM dan Bravo melaksanakan beberapa pengisian aktviti untuk dijalankan bersama anak-anak Paud Ala Manda. Antara aktiviti yang dijalankan adalah kami meraih anak-anak itu dengan memimpin tangan mereka untuk bergerak ke lokasi aktiviti dilaksanakan. Tibanya di lokasi, kami memulakan dengan nyanyian “Guruku tersayang” untuk anak-anak itu merasa lebih dekat dan selesa dengan ahli-ahli yang ada kerana lagu itu sendiri berasal daripada Indonesia.
Setelah itu, sesi perkenalan pun bermula. Dimulakan dengan ahli-ahli fasi daripada PIKDM dan Bravo dan diteruskan dengan anak-anak dan guru guru dari Paud Ala Manda. Apa yang menarik, anak-anak itu mempunyai cara tersendiri untuk memperkenalkan nama mereka dengan cara bernyanyi. Itu adalah suatu bekalan ilmu dan pembelajaran yang boleh kami ambil sebagai inspirasi dalam sesi ini.
Seterusnya adalah sesi bersama patung bear ataupun lebih dekat dengan gelaran badut oleh anak-anak disana. Kami semua menari sambil anak-anak itu berinteraksi dengan patung bear dengan penuh kegembiraan dan keriangan.
Pengisian seterusnya adalah permainan “Aiya Susanti”. Dengan menggunakan lagu, ahli fasi membawa anak-anak ini mengelilingi kawasan beraktivtii sambil menutup mata anak-anak. Majoriti semuanya telahpun menghafal dan mengenali permainan ini kerana mereka sudah pun pernah melihatnya di kartun Upin dan Ipin.
Aktviti kemuncak adalah mewarna dan membuat origami. Dalam pengisian ini, ahli fasi mengambil ruang untuk lebih dekat dengan anak-anak dengan membawa mereka bercerita dan saling bertanya soalan berkenaan dengan latar belakang dan juga pendidikan yang mereka belajar.
Objektif dalam aktviti ini adalah kita mahu melihat anak-anak ini gembira dan seronok dengan setiap pengisian yang kami lakukan kepada mereka. Selain itu, kami juga cuba untuk saling berkongsi ilmu dengan guru-guru di sekolah tersebut. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar walaupun ketika itu masa agak terbatas untuk melakukan lebih banyak pengisian yang menarik.
Selepas ini kita dapat menyusun dan merancang dengan lebih sempurna khususnya dalam penentuan pengisian untuk menyantuni anak-anak sesuai dengan laras usianya. Dengan itu, pencapaian setiap ahli yang terlibat dalam menjalankan aktiviti ini akan lebih cemerlang dalam memainkan peranan serta memahami teknik improvisasi sesuai dengan lapangan agar momentum aktiviti dapat dijalankan dengan lebih lancar.
Perkara yang memotivasikan dalam aktiviti ini menurut pandangan saya adalah semangat anak-anak dan guru guru di Paud Ala Manda ini yang begitu kental dalam menuntut ilmu walaupun dalam keadaan sekolah mereka yang kecil dan fasiliti yang sekadar mencukupi.
Alhamdulillah semuanya berjalan dengan jayanya. Pastinya menjadi pengalaman yang baik buat ahli yang terlibat terutama daripada segi cara melayani anak-anak sekolah serta meraih tetamu yang hadir dengan cara komunikasi yang mengeratkan hubungan sesama. InshaAllah.
Setinggi tinggi terimakasih untuk Paud Alamanda dan ibu ibu anak tadika yang menjamu kami makan tengahari istimewa setelah program berakhir.
[INSERT_ELEMENTOR id=”16857″]