Boneka hidup merupakan salah satu aktiviti dalam slot pendidikan yang dijalankan sekali dengan aktviti “Water is Life” untuk anak-anak di Pesantren Al-Kausar, Cianjur. Aktiviti ini dipimpin oleh ahli PIKDM dan dibantu oleh kawan-kawan Bravo.
Istilah Boneka Hidup ini adalah merujuk kepada seni teater ataupun lakonan. Dalam aktiviti ini, boneka yang dimaksudkan itu akan dicipta sendiri melalui bahan yang diberikan iaitu kertas A4, lidi, masking tape dan bahan-bahan terpakai yang sesuai. Seterusnya, akan ada individu yang digelar sebagai pemain boneka untuk menyampaikan persembahan tersebut.
Oleh itu, setiap kumpulan yang telah dibahagikan kepada anak-anak Pesantren dalam aktiviti ini akan menerima satu plastik yang berisi bahan-bahan untuk mencipta boneka itu. Plastik itu mereka akan dapat di stesen pertama dalam aktiviti Water is life. Itu juga merupakan amanah mereka untuk menyiapkan boneka tersebut.
Setiap kumpulan hendaklah bijak mencari waktu dan belajar berkomunikasi dengan ahli kumpulan untuk menyiapkan boneka itu sambil mereka bergerak dan melakukan tugasan di setiap stesen yang akan mereka lalui. Boneka yang mereka hasilkan haruslah diberikan watak/perwatakan kerana mereka juga akan menghasilkan satu cerita berdasarkan watak/perwatakan daripada boneka yang mereka cipta.
Semoga aktiviti ini dapat menjadi satu medium yang baik untuk anak-anak Pesantren menyampaikan mesej kepada orang ramai melalui persembahan teater ataupun lakonan. Selain itu, kita juga dapat mencungkil bakat dan kemahiran yang mereka ada. InshaAllah