Aidul Adha merupakan salah satu daripada dua hari raya dalam Islam. Ia menjadi syiar besar Islam yang menghubungkan ibadah, ketaatan dan tanggungjawab sosial. Ia bukan sekadar hari perayaan, tetapi medan untuk menzahirkan syiar ketaatan yang menuntut manusia memahami makna pengorbanan secara lebih mendalam. Ibadah korban bukan hanya tentang menyembelih haiwan, tetapi tentang menundukkan perkara buruk yang menguasai diri seperti ego, riya’, tamak, kedekut, dendam dan rasa paling benar.
Allah SWT mengingatkan:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban sebagai bersyukur.”
(Surah al-Kauthar: 2)
Ini menunjukkan ibadah korban mesti berpaksikan keikhlasan kepada Allah SWT. Bukan sekadar acara tahunan, simbol kemampuan atau ruang mencari pengiktirafan manusia. Ibadah korban yang dilaksanakan dengan kefahaman yang sebenar bukan sahaja menghidupkan syiar Islam, tetapi juga dapat mendidik jiwa Muslim supaya berani “menyembelih” sifat buruk dalam diri.
Jika haiwan korban disembelih kerana Allah, maka nafsu yang merosakkan akhlak juga perlu ditundukkan kerana Allah.
PERTUBUHAN ILMU KEBAJIKAN DAKWAH MALAYSIA
Ikuti kemaskini aktiviti PIKDM
https://linktr.ee/PIKDM
Sumber: Facebook PIKDM



