Rabiul Akhir merupakan bulan keempat dalam kalender Hijrah. Ia hadir sebagai kesinambungan kepada bulan-bulan sebelumnya yang penuh dengan sejarah perjuangan dan keteladanan. Selain nama Raiul Akhir, bulan ini juga dikenali sebagai Rabiul Thani. Walaupun tiada keistimewaan khusus untuk bulan ini seperti bulan-bulan haram dan sebagainya, namun dalam tradisi ulama dan umat terdahulu bulan ini tetap dimuliakan. Setiap waktu, hari dan bulan tetap dijadikan sebagai ruang memperkukuh ibadah, memperbanyak zikir, dan memperelok akhlak dalam kehidupan seharian.
Para sahabat Rasulullah SAW mempelajari doa berikut sebagaimana mereka mempelajari al-Quran apabila masuknya bulan atau tahun baharu:
اللهمَّ أَدْخِلْهُ عَلَينَا بالأَمْنِ والإِيمَانِ، والسَّلَامَةِ والإِسْلَامِ، وَجِوَارٍ مِنَ الشَّيطَانِ ورِضْوَانٍ من الرَّحْمَن
“Ya Allah, masukkanlah ia (bulan baharu) kepada kami dengan keamanan dan keimanan, kesejahteraan dan Islam, mendapat perlindungan daripada syaitan, serta mendapat keredaan daripada al-Rahman.”
Rujuk: al-Tabrani, Mu‘jam al-Awsat (Kaherah: Dar al-Haramain, 1415H), 6: 221 Ibn Hajar, al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1415H), 4: 218.
====================
PERTUBUHAN ILMU KEBAJIKAN DAKWAH MALAYSIA



