Safar merupakan bulan kedua berdsarkan turutan kalender Hijrah. Dahulu, masyarakat Arab Jahiliyah menganggap bulan Safar ini membawa sial. Suatu ketika dahulu di Tanah Melayu, terdapat juga golongan yang mengamalkan upacara khusus mandi Safar bagi membuang sial pada bulan ini. Namun Islam membetulkan kepercayaan tersebut dan menegaskan tiada bulan atau hari tertentu yang membawa kesialan. Segala yang berlaku sama ada baik mahu pun buruk adalah qada’ dan qadar daripada Allah SWT. Justeru, Safar adalah bulan biasa di sisi Allah, sebagaimana bulan-bulan yang lain.
Para sahabat Rasulullah SAW mempelajari doa berikut sebagaimana mereka mempelajari al-Quran apabila masuknya bulan atau tahun baharu:
اللهمَّ أَدْخِلْهُ عَلَينَا بالأَمْنِ والإِيمَانِ، والسَّلَامَةِ والإِسْلَامِ، وَجِوَارٍ مِنَ الشَّيطَانِ ورِضْوَانٍ من الرَّحْمَن
“Ya Allah, masukkanlah ia (bulan baharu) kepada kami dengan keamanan dan keimanan, kesejahteraan dan Islam, mendapat perlindungan daripada syaitan, serta mendapat keredaan daripada al-Rahman.”
Rujuk: al-Tabrani, Mu‘jam al-Awsat (Kaherah: Dar al-Haramain, 1415H), 6: 221 Ibn Hajar, al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1415H), 4: 218.



